Semalam semasa berkumpul dengan kawan-kawan niaga tu, pelbagai petua pula yang dikongsikan. Bukannya petua melariskan perniagaan. Malah macam saya, tak perlu sangat dengan petua melariskan perniagaan kerana kita hanya buat sambil-sambilan saja untuk mengisi ruang waktu. Jika dapat langganan berlebihan, pasti tak terbuat pula, dan tentu susah nanti.
Petua yang saya maksudkan ialah petua menjaga diri dan kerukunan rumah-tangga. Rupanya terdapat banyak petua menjaga diri dan kerukunan rumah-tangga ni. Tetapi, hampir semuanya patut dimulai semasa masih remaja dan sebelum memasuki alam rumah-tangga. Di usia sebegini, tak banyak lagi petua yang dapat membantu.
Namun begitu mungkin elok juga membuang tabiaat yang suka minum air ais dan air kelapa. Saya pun terperasan juga, kekadang rasa sengal-sengal sendi dan menyucuk-nyucuk gitu. Kata mereka yang tahu, air ais dan air kelapa ni tidak bagus kerana air ais akan memanaskan badan secara berlebihan, sementara air kelapa ada kesan disebaliknya, iaitu menyejukkan badan secara berlebihan pula. Ada juga yang kata ada kesan merenggangkan otot, dan mengembangkan urat.
Saya teringat semasa sessi ceramah penyakit eczema dan asthma dulu, doktor pun ada berkata demikian. Walaupun penyakit-penyakit ini bukan jenis penyakit yang fatal, tetapi penyakit eczema tu boleh sampai ke tahap yang amat jelek dan gatal-gatal maksima, sementara asthma yang kronik juga memeritkan. Pendeknya, berkemungkinan akan memberi tekanan mental yang berat.